TAWAU: Kampung Ice Box sekali lagi dilanda musibah apabila lebih kurang 60 rumah musnah dijilat api dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi semalam, sekali gus menyebabkan kira-kira 300 penduduk tinggal sehelai sepinggang
Kebakaran di kampung itu dipercayai berlaku akibat litar pintas di salah sebuah rumah yang mengakibatkannya marak dengan sekelip mata seterusnya merebak ke rumah-rumah lain.
Tinjauan Utusan Borneo di lokasi kejadian mendapati rumah-rumah yang terjejas teruk akibat insiden itu terletak di kawasan pesisir sementara air laut pula berada pada paras cetek.
Bagaimanapun, kerja-kerja mengawal kebakaran dan memadam api tetap dilakukan oleh pihak bomba dengan kerjasama penduduk kampung.
Hujan yang turun membantu memadamkan api secara beransur-ansur.
Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Daerah Julius John Stephen Jr, berkata 20 ang-gota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan tiga unit bantuan sebaik menerima aduan awam pada jam 11.33 pagi.
“Api berjaya dikawal pada jam 12.42 tengah hari dan padam sepenuhnya pada jam 1 petang,” katanya sambil menambah api cepat merebak kerana rumah-rumah di kawasan itu dibina daripada kayu dan kedudukan setiap rumah pula terlalu rapat.
Menurut beliau, tiupan angin yang kuat serta keadaan sempit di lokasi kejadian menyukarkan lagi kerja-kerja memadam dan mengawal kebakaran dilakukan oleh pasukan bomba.
Bagaimanapun, Julius berkata tiada kecederaan ataupun kes kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden yang berlaku buat kali kedua di kampung itu dalam tempoh sebulan pada tahun ini sahaja.
“Buat masa ini, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian masih dilakukan,” katanya sambil menggesa masyarakat agar lebih berhati-hati dalam melaksanakan rutin harian mereka.
Beliau turut menggesa agar para ibu bapa mencegah anak mereka daripada bermain mercun ataupun bunga api kerana dibimbangi menjadi punca kepada kejadian yang tidak diingini.
Untuk rekod, ini merupakan insiden kali kedua yang melanda kampung terbabit dalam tempoh sebulan selepas kebakaran yang memusnahkan deretan 50 unit perniagaan pada awal Januari lalu.


No comments:
Post a Comment